Minggu Ke - 4

Pada minggu keempat, untuk kelas SPPL 1212 Pembiakan dan Pengurusan Tanaman, kami telah didedahkan untuk melakukan aktiviti penanaman anak pokok iaitu lebih dikenali sebagai pembiakan secara keratan batang. Secara teori, pembiakan ini merupakan cara yang paling mudah dilakukan untuk menghasilkan pokok-pokok baru dengan banyak dan cepat. Antara pokok yang biasa dibiak secara keratan batang ialah bunga raya (hibiscus), bunga kertas (bougainvillea), bunga puding (codiaeum), ati-ati (coleus) dan bunga siantan (ixona). Gambar di bawah menunjukkan tumbuhan hiasan yang dibiakkan melalui kaedah keratan batang.



Sebelum memulakan aktiviti penanaman pokok, Puan Salina telah memberi sedikit taklimat ringkas mengenai beberapa prosedur berkaitan dengan pembiakan keratan batang. Antara aspek yang paling utama ialah penyediaan medium semaian. Pembiakan secara keratan batang boleh dilakukan dengan menyediakan campuran 2 bahagian tanah loam, 1 bahagian bahan organik, dan 1 bahagian pasir       (2 : 1 : 1).

           







Gambar di atas menunjukkan prosedur-prosedur penyediaan medium semaian. Langkah pertama yang telah dilakukan ialah pelajar tersebut telah melonggokkan ketiga-tiga bahan medium memasu di tapak kerja secara berasingan. Kemudian, proses penapisan bahan-bahan medium memasu dengan penapis secara berasingan telah dilakukan supaya ketulan tanah dapat dipisahkan dengan baik. Seterusnya, dengan menggunakan cangkul sekop pasir,  ketiga-tiga bahan medium memasu telah digaulkan sehingga campuran tersebut nampak sempurna. Selepas itu, setiap orang masing-masing telah diberi lima beg politena untuk melakukan kerja pemindahan keratan batang ke dalam beg politena yang mengandungi medium penanaman.




    
 Bahan medium memasu yang telah disiap gaul dengan rata telah dimasukkan ke dalam beg politena yang telah disediakan sehingga memenuhi tiga perempat beg dengan menggunakan sudip. 



Kemudian, kami telah diarahkan untuk mencari dan mengambil lima jenis keratan batang untuk melakukan proses penanaman. Sebelum itu, Puan Salina telah memberi sedikit ceramah tentang jenis dan bahagian-bahagian keratan batang  yang perlu kita mengetahui supaya proses pembiakkan spesies pokok dapat dilaksanakan dengan baik. Terdapat tiga jenis keratan batang yang utama, iaitu keratan kayu lembut, keratan kayu sederhana keras, dan keratan kayu keras. Pemilihan keratan umumnya bergantung kepada spesies pokok yang hendak dibiakkan.


Nota Tambahan tentang Jenis dan Bahagian Keratan Batang



Kami telah bermula untuk mencari pelbagai jenis keratan batang yang sesuai untuk melaksanakan penyemaian keratan batang. Antara dahan pokok yang kami telah dapat ialah pokok melati, pokok bunga kertas dan pokok Ficus. Langkah pertama yang telah dilakukan ialah pilih dahan yang sihat dan berdiameter 1 cm - 1.5 cm. Kemudian, potong dahan dengan menggunakan sekatuer sepanjang 15 cm hingga 20 cm secara serong di bawah paras buku terendah.



Info Tambahan

ΓΌ  Bahagian bawah keratan batang dipotong serong untuk menambahkan keluasan permukaan bagi menyerap air daripada medium. Potongan pada hujung keratan dibuat melintang supaya senang membezakan antara pangkal dan hujung keratan semasa menyemai.

Kemudian, ambil dahan keratan batang yang telah disiap dan lembapkan pangkal keratan batang dengan air dan celupkan ke dalam serbuk hormon pengakaran yang sesuai dengan jenis keratan batang yang ada. Selepas itu, masukkan ke dalam beg politena yang mengandungi medium penanaman. Setelah menanam keratan, kejapkan medium di sekeliling keratan dengan tangan.







Seterusnya, siramkan medium sehingga menjadi lembap supaya tanah dapat meresap air hingga ke bawah pangkal keratan batang. Kemudian, keratan batang yang disiap siram  telah dibawa dam meletakkan di tempat yang teduh dan beri naungan kepada keratan batang tersebut. 

Memberi naungan bermakna mengurangkan pancaran cahaya matahari pada tumbuhan. Ini dapat dilakukan dengan meletakkan tumbuhan itu di tempat yang teduh untuk beberapa hari. Mengurangkan naungan pula bermaksud mendedahkan tumbuhan kepada cahaya matahari sedikit demi sedikit. Hal ini adalah untuk mengurangkan renjatan pokok. 

       Setelah semua kerja pembiakan secara keratan batang selesai, kami telah membersihkan kawasan tersebut dan simpan balik semua alatan yang telah digunakan untuk penanaman.


Comments

Popular Posts